Sunday, 11 December 2011

KAJIAN TINDAKAN 3026


KAJIAN  TINDAKAN
BAHASA  MELAYU TAHUN SATU
(LINUS DAN LINUS TEGAR)
SEK.KEB.ST ANTHONY CAWANGAN LANGKAP



1.0       ABSTRAK
        Pada tahun 2010 , Program LINUS bagi murid Tahun 1 telah dimulakan. Program ini bertujuan memastikan murid-murid tahap 1 (1, 2 dan 3 ) adalah boleh menulis dan membaca . Program LINUS ini juga adalah salah satu program yang terletak di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara( NKRA ). Tahun 2011 merupakan tahun kedua saya mengajar Bahasa Melayu Tahun Satu.Saya memilih masalah murid LINUS sebagai Kajian Tindakan saya.
Merujuk kepada analisa Saringan 1(Membaca dan menulis) dan  peperiksaan pertengahan tahun ( 2011 ) yang lalu, saya mendapati ramai murid Tahun Satu Pesona Sek.Keb. St. Anthony  Cawangan  Langkap,yang masih belum menguasai kemahiran mengeja suku kata terbuka ( kv ). Kumpulan murid-murid ini adalah tergolong dalam kumpulan murid Linus dan Linus tegar (Literasi ).


2.0       REFLEKSI PENGAJARAN YANG LALU.
Berdasarkan kepada keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang lalu dan saringan linus 2, didapati masih ramai murid tahun satu pesona yang belum menguasai kemahiran mengeja suku kata terbuka (kv). Sekiranya murid-murid ini tidak boleh mengeja suku kata (kv) agak sukar bagi mereka untuk menguasai kemahiran- kemahiran berbahasa yang lain seperti  membaca ayat dan menulis.

  
3.0       FOKUS KAJIAN /ISU KEPERIHATINAN
Fokus kajian ini tertumpu kepada masalah pembelajaran yang dialami oleh murid-murid Tahun Satu Pesona Sek.Keb.St.Anthony Cawangan Langkap (Tahun 2011).Kumpulan murid yang terlibat ini menghadapi masalah mengeja dan membunyikan suku kata terbuka (kv). Seterusnya, mereka menghadapi masalah sukar mengeja dan membaca perkataan yang mengandungi suku kata terbuka (kv + kv) ataupun (kv + kv + kv ).


4.0       OBJEKTIF KAJIAN
          Dalam kajian yang dijalankan ini, saya mensasarkan kepada objektif yang ingin dicapai terbahagi kepada dua iaitu :
            a.Objektif Umum
1) Murid-murid dapat meningkatkan prestasi murid-murid Tahun 1 Pesona.
                       
            b.Objektif Khusus
1) Murid-murid Tahun 1 Pesona dapat mengeja suku kata terbuka (kv )
2) Murid-murid Tahun 1 Pesona  dapat mengeja perkataan yang mengandungi suku     kata terbuka (kv + kv)   

  
5.0       KUMPULAN SASARAN
Fokus kajian ini mensasarkan murid Tahun 1 Pesona yang masih belum menguasai kemahiran mengeja  suku kata terbuka (kv) dan seterusnya mengeja perkataan yang mengandungi suku kata terbuka (kv + kv)

                                          Jumlah murid sasaran =           20   orang
                                          Jumlah murid lelaki       =          14    orang
                                         Jumlah murid perempuan =          6   orang

  
Pecahan murid sasaran mengikut bangsa dan jantina adalah seperti berikut :

Lelaki
Perempuan
Jumlah
Melayu
6 orang
1 orang
7 orang
India
5 orang
4 orang
9 orang
Lain-lain(Asli)
3 orang
1 orang
4 orang



6.0       PELAKSANAAN KAJIAN
            5.1 Tinjauan Masalah
                        a)Temubual dengan guru
                        Kaedah temubual dengan guru pula dibahagikan kepada :
                                     i.guru yang mengajar mata pelajaran teras      
                                   ii.guru yang mengajar bukan mata pelajaran teras

                        b)Temubual dengan murid
                        c)Temubual dengan waris/penjaga
                        d)Temubual dengan rakan sebaya

i. Temubual dengan guru
          Merujuk kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran kelas Tahun 1 Pesona ,masalah pembelajaran murid Tahun 1 Pesona yang tidak dapat menguasai kemahiran mengeja dan membunyikan perkataan yang mengandungi suku kata terbuka (kv) ialah kebanyakan daripada mereka belum menguasai kemahiran mengenal huruf – huruf vokal dan huruf-huruf konsonan dengan sepenuhnya.
         Menurut guru-guru yang  mengajar  bukan mata pelajaran teras pula, kebanyakan murid-murid yang bermasalah ini ini tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru. Di  samping itu , murid-murid ini juga cepat berasa bosan dan mula mengganggu rakan-rakan yang lain.

ii. Temubual dengan murid
            Hasil temubual guru dengan murid-murid yang bermasalah ini ialah mereka berasa sukar untuk mengeja dan membunyikan suku kata terbuka(kv) dan perkataan yang mengandungi suku kata terbuka (kv + kv) kerana beberapa huruf vokal dan huruf-huruf konsonan yang belum dikuasai sepenuhnya.
            Mereka juga menyatakan kurang  mendapat sokongan dan motivasi daripada keluarga di rumah. Apabila berada di rumah, murid-murid tidak dapat mengulangkaji pelajaran dan tiada panduan yang baik untuk dicontohi.

c) Temubual dengan waris /penjaga
“Hari Interaksi “ diadakan di sekolah selepas keputusan peperiksaan pertengahan tahun diperolehi. Ibu bapa atau penjaga dijemput ke sekolah untuk berinteraksi dengan guru mengenai perkembangan prestasi anak-anak ate anak di bawah penjagaan mereka. Kesempatan ini digunakan oleh guru untuk berinteraksi bagi mengetahui keadaan murid-murid yang bermasalah ini semasa mereka berada di rumah.
         Daripada temubual yang dijalankan , kebanyakan ibu bapa atau penjaga murid-murid tidak mempunyai masa yang banyak untuk memantau kerja rumah yang diberikan oleh guru. Desakan kos hidup yang semakin meningkat dan rata-rata bekerja di kebun atau bekerja sendiri memaksa mereka untuk bekerja keras dan bekerja lebih masa . Setelah pulang bekerja, mereka sudah keletihan dan tidak sempat untuk memantau kerja rumah dan pelajaran mereka di rumah. Ditambah pula dengan kebanyakan ibu bapa dan penjaga yang berpendidikan rendah, mereka berasa rendah diri dengan menyatakan tidak pandai untuk mengajar anak-anak  mereka di rumah.


d) Temubual dengan rakan sebaya
            Rakan-rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam memastikan peningkatan prestasi murid-murid yang bermasalah ini. Pengaruh rakan yang tidak baik akan menyebabkan murid-murid juga berprestasi tidak baik. Daripada temubual rakan sebaya daripada kumpulan murid Perdana, murid-murid yang bermasalah ini suka mengganggu rakan yang lain  dan tidak suka belajar. Kebanayakan murid Perdana kurang selesa untuk membimbing rakan-rakan linus dan linus tegar yang suka mengganggu rakan lain.


5.2       Rumusan Tinjauan Masalah
Berdasarkan kepada tinjauan masalah yang dijalankan, terdapat tiga rumusan yang perlu diberi perhatian serius untuk memastikan murid-murid yang bermasalah ini tidak terus hanyut dibelenggu masalah yang dianggap kecil ini. Tindakan segera perlu dilakukan agar murid-murid ini dapat keluar daripada kelompok murid linus dan linus tegar dan seterusnya mencapai hasrat NKRA ( Nilai Keberhasilan Utama Negara)
Rumusan :
            i) memastikan murid-murid yang bermasalah ini mendapat sokongan dan motivasi        daripada  ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan sebaya.
            ii) memastikan murid-murid bermasalah ini menguasai kemahiran mengecam dan mengenal huruf-huruf vocal dan konsonan dengan dengan baik.
            iii) menguasai kemahiran mengeja dan membunyikan suku kata terbuka (kv ) dan mengeja perkataan yang mengandungi suku kata terbuka (kv + kv).

5.3       Melaksanakan Tindakan
            Beberapa program dan aktiviti telah dijalankan  bagi meningkatkan prestasi murid-murid yang bermasalah ini bagi memastikan mereka keluar daripada kepompong murid linus dan linus tegar. Di antara program dan aktiviti yang dirancang ialah :
           
a)         Permata Hati
        Program ini dijalankan setelah Hari Interaksi bersama ibu bapa dilaksanakan. Melalui program ini, Ibu bapa berperanan memantau perkembangan prestasi anak-anak mereka di rumah. Mereka hanya memastikan anak-anak menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Selain daripada itu, mereka diharapkan dapat memberikan motivasi kepada anak-anak agar belajar bersungguh-sungguh.
        Ibu bapa atau penjaga akan diberikan ‘Kad Pemantauan Kerja Rumah (Lampiran 1). Setiap kerja rumah yang diberikan oleh guru perlu ditandatangani juga oleh ibu bapa penjaga bagi memastikan murid-murid menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.Di samping keja rumah, mereka diharapkan dapat memberikan sokongan dan motivasi kepada anak-anak agar berminat untuk belajar. Perjumpaan dengan ibu bapa atau penjaga secara langsung dan tidak langsung juga diadakan bagi memastikan program ini berjalan lancar.

Pemerhatian :
Beberapa bulan selepas program ini dijalankan, murid-murid mula menunjukkan minat         belajar dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan walaupun tidak sepenuhnya.

Refleksi      :
Hasil program ini menunjukkan peningkatan motivasi dan dorongan dalam diri murid-murid dan keadaan ini memberikan kesan yang positif kepada murid-murid untuk belajar dan seterusnya memperbaiki kelemahan diri.

b)         Sinar Pagi
         Aktiviti ini dijalankan setiap pagi hari persekolahan kecuali hari Isnin kerana diadakan perhimpunan mingguan.Kumpulan tertentu akan membaca secara berlagu tentang huruf-huruf dan suku kata secara berkumpulan mengikut tahap kebolehan. Seorang ketua dilantik  bagi memastikan semua ahli kumpulan yang hadir pada hari tersebut melakukan aktiviti yang sama. Melalui aktiviti ini adalah diharapkan akan dapat memberikan sinar yang baharu kepada murid-murid ini.

Pemerhatian :
Hasil pemerhatian yang dijalankan melalui aktiviti ini, beberapa orang murid telah mula menunjukkan peningkatan dalam mengenal huruf dan suku kata terbuka (kv).

Refleksi       :
Aktiviti secara berkumpulan ini banyak memberikan kesan yang positif kepada murid-murid untuk belajar kerana berada dalam kumpulan yang kecil dapat memberikan lebih keyakinan dalam diri murid-murid. Keyakinan sangat penting wujud dalam diri untuk memotivasikan diri serta mengelakkan rasa rendah diri yang begitu tinggi dalam diri muridmurid yang lemah.


c)         Program ‘Menggapai Bintang’
     Program ini bertujuan memberikan perangsang kepada kepada murid-murid untuk meningkatkan usaha mengumpulkan seberapa banyak ‘bintang’ dan boleh ditukarkan dengan hadiah-hadiah tertentu seperti pensel, pemadam,buku nota dan sebagainya. Bagi mendapatkan ‘bintang ’ yang telah disediakan oleh guru, murid-murid perlu berusaha untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru dengan baik dan kemas. Sekiranya latihan membaca dijalankan, murid-murid perlu menguasai beberapa kriteria yang telah ditetapkan. Di samping menguasai kemahiran belajar, murid-murid yang menunjukkan sikap baik atau mengamalkan nilai-nilai murni juga diberi ganjaran ‘bintang.

Pemerhatian:
Sepanjang perjalanan program ini dijalankan, murid-murid menunjukkan minat untuk  melakukan tugasan yang diberikan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Ramai murid yang terlibat telah mendapat ganjaran yang ditawarkan oleh guru.

Refleksi   :
Walaupun program ini dilihat seakan murid-murid melakukan tugasan kerana untuk mendapatkan sesuatu, namun kesan yang diperolehi sangat menggalakkan. Murid-murid melakukan tugasan dengan baik di samping wujudnya semangat ‘persaingan yang sihat’ di kalangan murid-murid. Mereka perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperolehi sesuatu yang diharapkan.

d)         Aktiviti Latih tubi (Buku Suku Kata Berwarna)
Selepas sesi pengajaran khas untuk murid-murid linus dan linus tegar dijalankan, aktiviti latih tubi akan dijalankan bagi memastikan murid-murid diberi pengukuhan dan tidak mudah lupa tentang perkara-perkara yang baru dipelajari.Buku rujukan membaca yang digunakan mengandungi suku kata terbuka (kv  + kv ) yang diwarnakan dengan warna yang berbeza. Contoh buku “Bacalah Sayang”

Pemerhatian:
Ujian serta-merta secara lisan atau bertulis dijalankan bertujuan menguji daya ingatan murid-murid semasa /selepas sesi pengajaran dan pembelajaran menunjukkan murid-murid dapat menjawab hampir 70%  soalan yang dinyatakan oleh guru.

Refleksi   :
Latih tubi dilihat dapat memberikan impak yang positif kerana dapat mengukuhkan ingatan murid-murid agar ingatan murid menjadi lebih lama atau kekal tentang perkara-perkara yang dipelajari setiap hari.


5.4       Penilaian
            Berdasarkan beberapa program dan aktiviti yang dijalankan dengan kerja sama semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga murid-murid, terdapat peningkatan prestasi di kalangan murid-murid dalam kumpulan linus dan linus tegar.
Jadual dibawah menunjukkan perbezaan pencapaian prestasi murid linus dan murid tegar.
                       
Sebelum Kajian Tindakan(Selepas Saringan 1)

Lelaki
Perempuan
Jumlah
Melayu
6 orang
1orang
7 orang
India
5 orang
4 orang
9 orang
Lain-lain(Asli)
3 orang
1orang
4 orang


            Selepas Kajian Tindakan(Selepas Saringan 3)

Lelaki
Perempuan
Jumlah
Melayu
1 orang
tiada
1 orang
India
4 orang
       1 orang      
5 orang
Lain-lain(Asli)
2 orang
         tiada
2 orang

Analisa  daripada jadual dapat diterjemahkan ke dalam graf seperti berikut :


SEBELUM KAJIAN TINDAKAN
(SELEPAS SARINGAN 1)



SELEPAS KAJIAN TINDAKAN
(SELEPAS SARINGAN 3)


6.5       Refleksi Kajian
          Berdasarkan kajian tindakan yang dijalankan , kita dapat membuat kesimpulan bahawa sesuatu masalah pengajaran atau pembelajaran yang dihadapi di sekolah dapat diselesaikan walaupun tidak seratus peratus berjaya. Kerjasama  semua pihak seperti ibu bapa , penjaga , guru-guru , pihak sekolah dan diri pelajar itu sendiri akan membuahkan hasil yang baik . Walau bagaimanapun, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa ada usaha keras yang berterusan dan juga menuntut kesabaran yang tinggi dalam diri seseorang yang bernama guru.
Berdasarkan kepada keputusan selepas saringan 3 yang telah dijalankan, masih terdapat seramai 8 orang murid linus bagi kelas Tahun 1 Pesona ini yang mewakili  70.37% daripada jumlah keseluruhan murid. Peratusan ini belum mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh kementerian Pelajaran Malaysia iaitu selepas saringan 3 dijalankan adalah diharapkan mencapai 90%  daripada keseluruhan murid. Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan pencapaian murid selepas saringan 1, hanya mencapai 25.93% sahaja daripada keseluruhan murid termasuk dalam kumpulan Perdana. Dengan kajian tindakan yang telah dijalankan ini, telah meningkatkan peratusan murid Perdana ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Berdasarkan analisa SWOT, masih terdapat beberapa ancaman yang menghalang pencapaian seratus peratus Perdana.

7.0       Kajian Untuk Kajian Seterusnya.
       Beberapa penambahbaikan perlu dilakukan sekiranya ingin menjalankan kajian yang seterusnya.Misalnya, masalah pembelajaran murid dapat diperolehi lebih awal lagi. Oleh itu masa yang lebih lama akan dapat memberikan kesan yang lebih baik apabila sesuatu program atau aktiviti dijalankan. Keberkesanan sesuatu program atau aktiviti juga akan   dapat dipantau dengan lebih telus. Di samping itu beberapa kekangan lain seperti kemudahan pembelajaran untuk murid-murid perlu ditambah dan dipelbagaikan , peruntukan masa yang lebih perlu diberikan kepada murid-murid linus dan linus tegar dan kerjasama semua pihak adalah diperlukan. Dalam hal ini, peranan guru pemulihan juga perlu dipertingkatkan bagi membantu murid-murid linus tegar.Di sekolah saya ( di cawangan Langkap), tiada kuota guru pemulihan.

8.0       Rujukan
1) Ee Ah Meng (1990).Pedagogi Satu Pengenalan Edisi Kedua,Kuala Lumpur Fajar Bakti   
Sdn.Bhd.

2) Juriah Long,Raminah Hj.Sabran,Sofia Hamid (1990),Perkaedahan Pengajaran Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur:Fajar Bakti Sdn.Bhd

3) Ainon Mohd.,Abdullah Hassan,(2002),Guru Sebagai Pendorong Dalam Darjah,   Kuala Lumpur :PTS Publications &Distributors Sdn.Bhd.

4) Nurulhuda Abdul Rahman et al. (Eds.) (2011).Modul 1 Pengajaran,Teknologi &Penaksiran Jilid 1 KPD3016 & KPD3026. Tanjung Malim:Fakulti Pendidikan &Pembangunan Manusia, UPSI

5) Annuar Ayub(Christoper Bowring-Carr,John West-Burnham) (1999), Pembelajaran Berkesan di Sekolah,Kuala Lumpur:Institut Terjemahan Negara Malaysia

No comments:

Post a Comment